9/22/2009

.::Menganyam Ketupat Hati::.







"Assalamualaikum.."
Pintu bilik ku dikuak. Muncul seorang lelaki berkaca mata berbaju kuning.
"Anas, jom sahur.."


"Ok, sekejap ye ustaz."
Aku terus bangkit, membetulkan kain pelekatku yang berwarna ungu putih. Aku mengarahkan kaki ku dengan menggunakan sistem di pusat fikiran. Maklumat yang dicipta dihantar dalam pelbagai bentuk seperti elektrik dan kimia. 'Synaptic cleft' pula dipenuhi dengan 'synaptic vessicle' bagi menghasilkan satu 'action potential' yang sempurna. Semuanya bersatu dalam menghasilkan satu pergerakan. Mungkin inilah dinamakan 'Satu Fikrah Satu Amal'. Bagaimana?


Seusai mengambil wudhu' aku bergegas ke bilik Ustaz Duan. Waktu imsak semakin menghimpit. Kalau lewat terlepas pula sahur.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikum salam. Aa, Anas cepat makan lewat doh ni.."

Beginilah hidupku di pagi hari. Jika tidak beriktikaf di Masjid Asyraf, maka destinasi sahur ku adalah di bilik Ustaz Duan. Jazakallah ustaz.


Di Masjid Asyraf suasananya berbeza. Aku dijamukan dengan makanan Arab seperti 'ish, ful, keju nan berlemak dan zabadi(yogurt) yang diubah tambah dengan jem farawlah(strawberi). Alhamdulillah aku mampu menghadam semua itu. Kadang-kadang, semangat makan aku tak terkalah dengan pakcik Arab.hehe.. Mungkin sahaja darah Arab ada dalam diri. Jika tidak mana mungkin hidungku berbonggol begini.


Aku merenung pinggan plastik oren dihadapanku. Ditimbuni pula dengan nasi diatasnya. Setiap butir nasi itu aku perhatikan. Termenung bagai tenggelam dalam nasi itu sendiri.


"Nah, makan apa yang ada eh.."
Aku lihat dalam mangkuk plastik. Bila sebut tentang mangkuk, tiba aku teringat satu mangkuk yang perlu aku hayun jauh dari bumi Mesir. Dasar mangkuk plastik menghuru-hara dunia yang sedia mangkuk. Mangkuk bergigi. Gigi besi. Gigi emas. Entah segala jenis gigi. Tersengih membusuk. Aku hayun jauh wajah tu. Menganggu permai suhur ini.


Oh, kibdah tumis. Mat Saleh panggil Hati. Si jawa tinggal di Pahang panggil Liver. Rupanya lauk berbuka tadi tak habis. Baki dibawa kehadapan. Layan...Hati lembu pun sedap, meski hari-hari aku makan hati. Tak masuk lagi makan daging busuk. Semua aku kaut bukan?


Hari ini 29 ramadhan. Khabarnya esok raya. Oh, Allah janganlah raya esok. Bagilah 30 hari penuh padaku. Aku tak ubah bagai seorang pekerja mintak 'over time' yang tak dapat-dapat. Alahai...


Tiba-tiba teringat pula kampung halaman ku di Johor. Jiku aku di Malaysia waktu ini, mesti tanganku dah berbalut dengan daun kelapa muda. Aku satu-satunya lelaki dalam adik beradik yang pandai menganyam ketupat. Ayah dan abang tahunya melantak sahaja(mohon ampun yer..hehe).Walaupun tidak semahir nenek ku dan ummi, tapi anyaman ketupatku masih menjadi. Aha! tiada ke gadis-gadis yang takjub dengan kemahiran aku?hehe..

Maknanya tahun ini pertama kali aku tak makan ketupat nenek yang harum. Tiada rendang ummi yang pedas-pedas. Tiada lodeh makcik-makcik aku yang kekuningan indah berserta tempe dan segala macam. Tiada juga sambal kacang nan merah. Aku pasti hilang punca di pagi raya kerna tak dapat menghidu bau ayam masak kicap ummi. Adeii...


1 Syawal 1430H


Aku habiskan sisa malam raya dengan solat sunat tasbih 4 rakaat. Tasbihku pula disulam sesal pada menyia-nyiakan ramadhan yang berlalu. Hati membara dendam pada sang nafsu yang sering melekakan dan menguji. Aku mengayam tekad. Menyimpul janji. Simpul yang mati! Aku menutup kepalaku dengan burnus. Terus mengukir janji yang dan memahat doa pada batu pengabdian...

"Alamak! nak naik ape ni gi Muqotam?", ujarku bernada sedih.

Aku berangan untuk beraya bersama Syeikh Yusri. Tiada ummi ayah, dapat beraya dan cium tangan syeikh pun dah cukup. Mulanya, pada malam tadi rancangnya ingin pergi bersama dengan Ustaz Soleh. Tapi di pagi raya tu, Ustaz Soleh terpaksa menjadi penunggu di kaunter zakat menunaikan amanah sebagai Bendahari KPT dengan menjadi amil zakat. Akhirnya, Ustaz Ismail dan Ustaz Fahmi sudi menjadikan aku pembonceng kedua. Menjadikan 3 orang berada di atas satu motor. Lantak! yang penting dapat pergi. Apa-apa pun jazakallah semua...
"Bukan kalam yang disampaikan itu memberi kesan kepada hatimu, akan tetapi Allah Taala yang akan memenuhkan cahayaNya ke dalam hati sesiapa yang dikehendakiNya."

Itu antara kalam Syeikh Yusri al-Hassani yang dinukilkan oleh Tuan Guru Syukri dalam blog beliau. Aku hadam nasihat itu. Telan dan serap keseluruh tubuh dan pemikiran aku. Aku memberi tumpuan yang setumpu mampu pada setiap butir kalimah Syeikh Yusri ketika khutbah Hari Raya. Walaupun otak berasa lesu akibat tidak tidur sepanjang malam di bulan Ramadhan. Aku berasa tak sanggup untuk meninggalkan malam-malam ramadhan dengan tidur. Moga setiap yang dikorbankan dibalas Allah dengan balasan yang terbaik dari sisiNya.


Selesai semuanya, kami pun bergambar. Aho! Seronok bergambar. Nanti boleh tayang pada orang Malaysia. Aku yang berpakaian khomis putih dan rida' hitam seputar bahu tak lepas bergaya. Bergambar dengan Syeikh Yusri dan sahabat-sahabat. Terus, kami pulang ke Hayyu Asyir setelah semua selesai. Sesudah sampai di rumah, operasi bergambar diteruskan hingga semua dah mula loya bergambar.hehe..


Aku mula termenung di atas katil. Turun tingkat 1, pergi ke bilik Ustaz Ahmad Salikin. Sembang, baring, sembang, baring. Arghh...boleh mati kebosanan kayak gini. Aku naik ke bilik semula, 'Tidur pun sedap ni.'. Aku pun merebahkan diri dan memasang sayap untuk bersedia naik ke langit. Inilah pertama kali tidur di pagi raya selepas solat sunat!


Ermm..disebabkan malas untuk membuat penutup untuk kisah ini, saya Che Mohammad Nur Anas Che Kadir ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Moga Allah menerima segala amalan kita di bulan Ramadhan dan menjadikan kita dikalangan orang yang bertaqwa.

Ummi dan Ayah

Anas memohon maaf atas semua salah silap. Tersilap kata, terburuk tingkah, terkasar bahasa, tersumbang laku dan segalannya. Mohon halal makan dan minum. Doakan keberkatan dilimpahkan pada anakanda yang dikejauhan ini. Moga anakanda mampu mencapai cita-cita dan impian menghimpunkan diri sebagai ulama' dan at-tibba'.


Kak Long, Abang Din, Abang Jie, Kak Hura, Kak Uda, Atin dan Abid

Terlontar jauh tulisan ini mengharapkan pada ampun dan maaf dari adik beradik tercinta. Doakan adinda terus diberi kekuatan dalam perjuangan.


Pakcik, Makcik, sepupu, dua pupu, sedara mara dan kaum kerabat

Tahun ini kita tidak dapat bersama. Duit raya juga tak dapat ku kutip dari setiap seorang. Maka akan ku tuntut tunggakan duit raya itu tahun hadapan. Namun Anas tak mahu menanggung tunggakan dosa dari kesilapan yang dulu. Mohon dimaafkan kalau dulu terlebih makan, tertumpah air sirap masa raya tahun dulu, terhabiskan serba makanan di rumah dan apa dosa yang ter-, ter- itu.

Sahabat-sahabat dan kenalan

Sesiapa yang bersama aku dulu sejak Pasti al-Irfan Pasir Gudang, Pasti ar-Raudhah Manjung, Sekolah Kebangsaan Seri Manjung, Sekolah Kebangsaan Marang, Sekolah Menengah Agama Marang, Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu(KOSPINT), MRSM Gerik, MRSM Terendak, Kolej Matrikulasi Melaka, Universiti Ain Shams dan penuntut ilmu di Mesir. Sesiapa yang berkaitan, terkait mahupun dikait aku pohon seINFINITI kemaafan. Aku tahu salah aku yang banyak meng'pau' rakan-rakan tercinta. Minta halal makan pakai yer...


9/19/2009

Ramadhan Terakhir..

Tulisan ini mungkin sahaja menjadi bingkisan ramadhan terakhir. Masih terkenang-kenang waktu kenangan silam. Ramadahan kali ini pada saya menghimpunkan yang terbaik dan terburuk. Biarlah ia menjadi rahsia disisi lipatan cerita hidup. Pasti! Syawal bakal menunjukkan hasil latihan kita. Adakah kita mampu hidup dalam atmosfera yang tercemar setelah hilangnya atmosfera ramadhan...Di bawah adalah gambar terakhir ketika pulang dari Masjid Asyraf setelah qiam bersama Syeikh Yusri.

Dengan berbekalkan telefon bimbit Siny Ericsson K610i serta kamera 2 mega pixels. Ini sahaja kualiti yang mampu dicapai.



Syeikh Ahmad Fahmi bersama Ustaz Ismail

2 Tuan Guru. Syeikh Nazrul dan Syeikh Syukri


Syeikh Faisal dan Ustaz Sodiq (malu-malu pula..)

Dah sampai....Syawal pula bertamu.

9/15/2009

Aku Nak Jadi USTAZ!

Aku mencapai beg sandang yang berwarna coklat kehijaun bersama kain rida' hitam berjalur putih, kaki ini terus melangkah keluar dari bilik 301 Darul Iman Students Hostel. Hari ini aku tekad, mesti pergi Jabal Muqatam. Meskipun badan kata tidak mahu. Ah, peduli sama kau badan.

Aku terus menyelempangkan beg kesayanganku ke bahu kanan dan rida' di bahu kiri. Bismillah! Kaki menyarung selipar putih yang mengaibkan.Mengaibkan? Itu ada kisahnya yang tersendiri. Kakiku ini banyak menyimpan kisah lucu.
Abaikan semua itu.Usah berlengah-lengah pemuda Islam harus pantas. Kaki ku terus melangkah menuruni tangga asrama, sejurus menyusuri Suq Sayarah. Pasar kereta. Bila tiba hari Jumaat dan Ahad pasti dataran ini dipenuhi manusia dan kereta. Mahu yang murah, mahal, cantik atau buruk, pilih saja. Asal punya wang. Oh, lupa aku bawa duit tak? Tangan meraba belakang beg dan terus membuka zip. Jika tak bawa aku terpaksa berpatah balik dan mendaki tangga asrama.Pasti memenatkan...Alhamdulillah masih punya wang.

Terpandang di kiri aku seorang makcik bersama tisunya. Memohon sedikit belas dari aku. Anaknya pula sibuk mengekori aku. Alahai...Moga Allah terus beri kemudahan dan membantu ummah. Terus ku beri 1 genih. Dapat tisu sebungkus.
Aku meneruskan perjalanan aku.Oh, Masjid Syarbini belum habis lagi terawih. Dulu selalu juga aku datang solat di sini. Cuma sekarang aku semakin malas. Teruk betul aku ni....Khidir, kau tak perlu nak bernostalgia di sini. Nanti lewat pula sampai di Muqotam..

Peace!
Itulah gaya yang perlu aku tunjuk pada pemandu tremco. Sebenarnya yang dimaksudkan dengan simbol tangan berbentuk 'V' itu adalah nombor 7 dalam bahasa Arab.
"Sabi'e?"
"Aiwah!"
Aku ni bukan reti sangat cakap bahasa Arab. Kalau seputar kenderaan atau yang berkaitan aku masih mampu berkomunikasi. Kalau keluar dari kebiasaan, memang aku akan terkontang-kanting.
Teruk bukan? Sudah setahun di Mesir tapi masih lemah berkomunikasi. Aku sedar dan teramat sedar bahawa aku memang teruk dan tak reti berbahasa Arab. Walhal itulah medium komunikasi dan ilmu yang paling utama di sini. Apa pun hidup perlu diteruskan! Alahai...
Sampai di Sabi'e aku bergegas ke Mahattah Muqotam. Stesen khusus untuk ke Muqotam. Mudah sahaja hendak ke sana. Banyak van yang menanti pelanggan. Sesama pemilik van mereka membuat giliran untuk membawa penumpang. Kalau tidak, pasti huru-hara seantero Sabi'e. Aku terus masuk ke dalam salah sebuah van setelah memastikan ia ke Muqotam. Kalau dalam 'amiyah bunyi huruf Qaf diganti dengan bunyi Alif. Jadi Muqotam disebut sebagai Muatam.
Aku punya satu tabiat ketika menaiki kenderaan. Iaitu berasa mengantuk sejurus kenderaan bergerak.Ya Allah, mengantuknya. Aku ambil kesempatan untuk tidur dulu. Nanti boleh dapat tahajud di Masjid Asyraf. Tidak tidur tidak boleh tahajud tapi masih dikira mendirikan malam (qiamulail). Di sana takkan punya masa untuk tidur. Syeikh hanya beri masa yang singkat untuk istirehat.

Dalam tidur ayam, aku termenung dan berfikir. Untuk apa aku bersusah, berpenat dan berkejar untuk ke Masjid Asyraf. Kau pergi dengar Syeikh Dr. Yusri mengajar pun bukan faham. Lagipun kau pelajar perubatan. Seusai kau habis belajar di sini, kau dah perlu menghadap pesakit-pesakit. Kau nak buat kuliah macam Dr. Yusri? Jangan terlebih perasan. Kau tahu siapa diri kau bukan? Kau tahu kemampuan kau bukan? Untuk apa semua ini?
Aku terdiam sebentar...
Apa matlamat aku selama di sini? Mengapa sedari dulu aku berangan mahu ke Mesir?
Neuron-neuron aku melakukan sinaps. Mencari jawapan untuk diri. Sehinggalah ia membentuk suatu jaringan maklumat.
Aku tersenyum seorang diri. Bagai seorang pesakit schizophrenia. Semua itu helah nafsu dalam mengugah aku supaya jauh dari cahaya Rasulullah. Ulama adalah pantulan dari cahaya Rasulullah. Mereka merupakan pewaris harta Kekasih Allah. Bersama mereka adalah Nur yang mampu menerangi mereka dan orang yang bersama mereka.
Tentang segala persoalan itu, semua jawapan ada pada kelebihan ilmu. Bukankah Kekasih Agung telah menyebut dalam kalam kebenaran.
Daripada Abu Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w;
"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan padanya, maka sudah tentu Allah menjadikannya seorang yang mengerti dengan hal-hal agama."[hadis riwayat ibnu Majah]
Maka mahu menjadi pilihan Allah perlu berusaha menjadi yang terpilih. Bagaimana? Hadiri majlis ilmu. Aku tak mengharap untuk menjadi tuan guru. Mahupun orang hebat lagi terkenal. Aku hanya inginkan kebaikan pada agama supaya ia menyelamatkan aku dari murka Allah.

Terkadang pujukan nafsu itu lebih halus. Hingga sesekali aku hampir tertipu dalam suluk. Pada waktu aku kesedihan dan tercabut tenang dari hati, nafsu mengajak aku untuk mengabdikan diri berseorangan di bilik bak seorang 'abid.
"Wahai Khidir! Biarlah kau bersendirian larut dalam solat dan tasbih memohon keampunan."
Aku sedikit termakan dengan umpanan beracun tersebut. Aku tertipu, bukan semakin dekat, bahkan hati makin gelap diselimut dosa. Hingga menyebabkan jiwa aku sedikit lumpuh. Maka menitislah air mata penyesalan memohon ampun dalam sujud dan khudu'. Bergema dalam kotak fikiran aku suara Guruku yang Mulia, Ustaz Zul sewaktu di Baitul Qura'.
"Kalau hati rasa tidak aman, tidak tenteram, pergilah bertemu ulama' dan syeikh. Kerana mereka ini orang yang rabbani. Perkataan mereka menyembuhkan hati kita kotor disebabkan dosa dan kelalaian.  Walaupun hanya sekadar ziarah dan minum air teh segelas."

Sejenak mengingati pesan tersebut itulah, aku terus bersiap untuk ke Masjid Asyraf bertemu Syeikh Dr. Yusri. Tiada lagi rasa teragak-agak mencemar hati.

Bergema pula di benak aku pesan seorang guruku yang amat ku cintai, Ustaz Azharuddin;
"Enta bila sampai di Mesir, banyakkan taqarrub, banyakkan taqarrub, banyakkan taqarrub."
Sebak di hatiku bila mengenangkan setiap pesan beliau. Ya Allah, kau rahmati dan sayangilah guru-guruku seperti mana mereka mengasihani aku. Tiba-tiba timbul pula rasa rindu dalam hati pada Malaysia....

Kaki berhenti di hadapan sebuah imarah (apartment) tertera tulisan MASJID AL-ASYRAF. Bismillah! Kaki kanan melangkah masuk ke dalam masjid. Kedengaran suara imam mengalunkan ayat suci al-Quran. Aku kenal suara ini, tiada berlagu tapi nada suaranya bersatu dalam kalam suci itu. Apabila sampai ayat rahmat, doa diajukan pada Allah. Tatkala tiba pula ayat murka, suara sayu merintih memohon keampunan. Dari kejauhan aku melihat Murabbiku, Tuan Guruku. Terasa begitu jauh dan kerdil kedudukanku di sisi Allah berbanding beliau.Ya Allah...

Aku menghampiri jemaah dan menyusun di dalam saf. Akal dan hati mula menyatu.
ALLAHUAKBAR.... Berderai hati aku merindui sang Khaliq. Ya Allah cintailah aku, pandangilah dengan pandangan belas dan kasihMu. Jangan sesekali Kau memurkai aku..Ya Latif..Ulthuf bina...

ALLAHUAKBAR...Aku tunduk dan abadikan diriku hanya untukMu. Meski mungkin pengabdian aku tidak sempurna, terimalah aku sebagai hambaMu...

ALLAHUAKBAR...Hati seperti terkena siraman air yang sejuk. Inilah 'shobbabah' atau simbahan air yang disebut oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi. Ya Allah, jadikanlah aku hamba pilihanMu, terpilih memahami ilmuMu. Meski tak mampu menjadi Ulama',
............................................................................................................................................................
Usai solat terawih, syeikh memberi rehat sebentar sebelum memulakan tahajud pula. Maka aku mengambil suatu sudut di dalam masjid untuk bersandar. Aku mengambil satu buku catatan dari dalam beg. Sambil berehat aku melorek dan melakar sesuatu pada muka buku tersebut.
Ah, imam sudah memanggil untuk solat tahajud. Buku itu aku atur bersama beg, rida' dan cermin mata. Nanti sambung semula contengan aku itu. Huh, hidup ini memang banyak 'unfinished business'. Tapi kita yang perlu menilai mana yang perlu diutamakan....


Kosa kata
1. Sinaps- Tempat pertemuan antara dua saraf atau suatu saraf dengan suatu tisu.[sumber-laman DBP]
2. Schizophrenia -1. type of mental disorder, (penyakit) skizofrenia; 2. (colloq) inconsistency, perangai yg berubah-ubah.[sumber-laman DBP]


Info
Kisah diatas bukanlah kisah penulis. Semua hanya suatu manipulasi maklumat dan sumber. Sebarang yang berkaitan, maka ia memang berkait. Andai tidak terkait, pergi belajar mengait baju,kopiah atau yang sewaktu dengannya. Ini adalah karya pertama penulis, maka sebarang kritikan yang rasional mahupun tidak akan diterima. Wallahualam..


Di tempat pengajian, Masjid Asyraf. Bersama Syeikh Dr. Yusri.

9/06/2009

..Aku,Rempit dan Talaqqi..

..:Aku:..
Che Mohammad Nur Anas bin Che Kadir.
Pelajar Kuliyah Perubatan Universiti Ain Shams Kaherah.
Sekarang asyik melepak didalam bilik sempena menghabiskan sisa waktu cuti musim panas.
Perasaan yang dialami sekarang adalah bosan tahap 4 daripada 5. Hampir menggilakan diri, namun iman masih ada . Mampu untuk bertahan hingga hari ini.....

..:Rempit:..
Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rempit-membawa maksud menyebat dengan rotan dan lain-lain atau menyesah.
Asalnya dari perkataan negeri Perak.
Jadi dari mana datangya perkataan rempit tu tidak saya ketahui. Mungkin dari bahasa Inggeris Remp-It.
Yang membawa kepada mengkehendaki ganjaran.
Saya tak suka me'rempit'. Sebab naik motor pun saya tak suka. Kecuali secara santai menikmati angin sepoi-sepoi bahasa. Jikalau memecut laju, memang agak mengecut perut saya. Itulah hakikat tentang diri saya. Hingga diketawakan oleh Kak Zu kerana tabiat ini.

..:Talaqi:..
Saya sendiri tak tahu maksud sebenarnya. Tapi saya yakin cara pengajian memberi suatu kesan berbeza dari cara pengajian melalui buku sahaja. Kita mendapat pemahaman sebenar tentang suatu perkara yang jika dengan kemampuan berfikir kita tak mungkin dapat memahami sesuatu hakikat.

..::HAKIKAT::..
Disebalik kerapuan yg ditulis saya. Inilah kisah sebenar. Hikayat pelajar Perubatan yang penakut. Dalam seminggu ni saya cuba mengikuti pengajian di Jabal Mukotam(ejaan ini diambil dari Pejabat Pos cawangan Mukotam). Pengajian Bahjatu Nufus(betul ke ni?nanti kene 'fire' lak..) oleh Syeikhuna al-Murabbi Guru yang Mulia, Syeikh Dr Yusri Abdul Jabbar al-Hasani.

Kami pergi dengan menaiki motor. Setiap kali naik saya berdoa berkali-kali moga selamat sampai dan selamat pulang. Kenapa saya takut naik motor?(ni soalan Kak Zu)

Setiap kali saya naik motor pada kelajuan tinggi, saya membayangkan diri saya tergolek-golek di jalan raya. Setiap kali naik saya berusaha atasi ketakutan saya. Mungkin saya jarang naik motor. Tambahan saya memang dari kecil sudah terbiasa dengan pemanduan motor secara santai. Ayah tak pernah memecut laju. Slow and steady.....

Terkenang sewaktu bersama Pakcik Jamal. Hari tu saya nak pulang ke Melaka. Pakcik Jamal dengan baik hati menghantar ke Stesen Bas Larkin. Itulah pertama kali saya naik motor yang sangat laju sambil mencelah diantara lori dan kereta. Hati saya tak putus berzikir dan berdoa. Saya ingatkan saya dapat 'control macho', rupanya ketakutan saya dikesan oleh Pakcik Jamal. Huh! memalukan.

Namun apabila setiap hari ke Jabal Mukotam, saya dapat membiasakan sedikit. Alhamdulillah...

Perihal pengajian, sebenarnya sepatah halal(kenapa perlu haram?) pun saya tak faham. Ada sepatah dua yang saya tahu. Seperti baru ni syeikh menyebut tentang ketulan darah(blood clot). Nama dalam bahasa arab adalah dam khasir. Semalam pula pasal, nutfah, 'alaqah dan mudghah. Penciptaan makhluq terbaik. Dapat juga saya faham sedikit. Moga yang sedikit itu datangnya berkah...amiin.

~Info Tambahan~
1. Syeikh Dr. Yusri dikatakan mempunyai 5 sijil. 3 daripada pengajian perubatan beliau. Iaitu dari ijazah pertama hingga ke P.h.d. 2 lagi daripada pengajian Islam iaitu dari ijazah pertama hingga Master di Al-Azhar. Banyak lagi kehebatan beliau yang belum saya ketahui(nanti nak tanya Tuan Guru Ustaz Nazrul). Di Malaysia belum ada lagi seorang yang mampu melakukan kombinasi seperti ini. Diharapkan saya mampu menjadi sehebat beliau.amiin...
2. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sanggup membawa saya ke tempat pengajian. Jazakallahu khair..
Dedikasi Khas untuk semua..
Ustaz Fahmi(yang rajin menjawab soalan..hehe)
Ustaz Abdul Mannan, Ustaz Soleh, Ust Mat Salik dan Dr Akmal(yang sanggup membawa saya.)
Ustaz Syukri (yang meransang saya untuk pergi..)
Ustaz Nazrul (menjadi inspirasi hati..)
Syeikh Dr Yusri sendiri (yang menyiram hati gersang ini..)
dan kepada semua yang terlibat membantu diri ini menjadi ini...

9/05/2009

..Hanyut..


Semenjak dua ni emosi jadi kurang stabil. Terumbang ambing dipukul ombak nafsu.
Stress tak tentu hala. Duduk memerap di bilik. Moga Allah melapangkan hati aku..

p/s-macam orang perempuan datang bula pula...huhu